PJD lancar projek kondo RM610j Dis.
Utusan Malaysia, Friday, November 22, 2002
Kuala Lumpur 21 Nov - PJ Development Holdings Bhd. (PJDH) akan melancarkan "Hartamas Regency", sebuah projek kondominium berkonsepkan pusat peranginan bernilai RM610 juta pada bulan Disember ini. Pengarah Urusan, Wong Ah Chiew berkata : "Projek ini mengandungi 244 buah kondominium berharga sekurang-kurang RM300,000 hingga RM1 juta dan dilengkapi dengan sistem rumah pintar, rangkaian Internet jalur lebar dan kawalan keselamatan 24 jam akan dilancarkan." "Setakat ini, sambutan menggalakkan malah ada pembeli luar negara seperti Singapura, Jepun, Taiwan dan Asia Barat yang berminat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikatnya di sini hari ini. Tambahnya, PJD kini mempunyai sebuah lagi projek pembangunan bersepadu bernilai RM700 juta yang terletak berhampiran jeti feri Butterworth iaitu Harbour Place. Wong berkata, projek itu melibatkan pembinaan 312 buah pangsapuri kos serderhana sambil menambah, PJD juga berusaha untuk menambah jumlah bank tanahnya terutamanya di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Mengenai prestasi syarikat itu pula, beliau yakin sektor perhotelan dan pusat peranginan di dalam dan luar negara yang terjejas selepas peristiwa serangan pengganas pada 11 September lalu akan pulih dan terus menjadi penyumbang kepada perolehan syarikat itu. Wong berkata, kadar penginapan bagi Swiss Garden Damai Laut, Perak telah mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 13.7 peratus, manakala bagi Kuantan pula mencatatkan kejatuhan sebanyak 2.5 peratus. "Usaha promosi berterusan yang dijalankan oleh pihak pergurusan hotel dan pusat peranginan tersebut akan membantu memulihkan semula jualan. PJD merupakan pemilik kepada rangkaian hotel Swiss Garden yang diuruskan oleh Swiss Garden International. Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2002, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM9 juta berbanding RM12 juta melalui peningkatan perolehan RM284.6 juta daripada RM254.7 juta tahun sebelumnya.
|